11/12/2008

SIAPA DAPAT MENEKA POTENSINYA?

Kelmarin saya menerima satu e-mel mengejutkan daripada seorang editor PTS Millennia. Khabarnya, Salju Sakinah akan masuk kilang untuk cetakan keempat dalam seminggu dua ini. Syukur. Saya tidak terkata apa selain melafaz tahmid. Diulangcetak kali keempat setelah 7 bulan terbit adalah mengejutkan. Ia sesuatu yang luar biasa bagi saya. Benar. Sesuatu yang di luar duga.

(Ditambah pula, SMS yang saya terima daripada
Kak Salina Ibrahim memberitahu bahawa novel itu kembali menduduki tempat kesembilan minggu lepas dan ketujuh minggu ini dalam Carta Top 20 Novel Tempatan MPH seluruh Malaysia selepas dua bulan terkeluar).

Hakikatnya, tiga novel saya sebelum ini, meskipun menawarkan latar yang agak berbeza dengan novel-novel di pasaran, cukup sukar untuk habis di pasaran (walaupun sukar ditemui! - kecuali di Ujana Ilmu). Setakat ini, hanya Sesegar Nailofar yang "berjaya" diulang cetak. Yang lain-lain, untuk menghabiskan 3000 naskhah boleh menelan masa empat lima tahun barangkali.

Namun SS ini jelas berbeza. Barangkali perjalanan panjangnya yang berliku sebelum lahir sebagai sebuah novel dan buku juga membuatkan ia sedikit istimewa. Hanya "kami-kami" yang tahu betapa saya pernah hampir blank ketika menulisnya secara bersiri. Malah dua rumah penerbitan tidak jadi untuk "dijodohkan" dengan novel ini walaupun pernah "bertunang" beberapa bulan lamanya sebelum PTS Millennia datang menyapa mesra.

Ia bukan novel terbaik daripada saya. Namun saya berdoa, moga hayat novel ini akan panjang - lebih panjang daripada usia saya. Bukan setakat mampu berdiri dalam bentuk buku, tetapi dalam medium-medium lain juga.

Ya, siapa dapat meneka potensinya?

1 komentar:

HafizAdam said...

cara promosi buku ini mungkin lebih berkesan..
rata-rata peminat menyebut bahawa mereka tidak meminati penulisan lelaki, namun tertarik setelah membaca isinya sedikit.
saya kira, dengan menyiarkan sebahagian Novel tersebut di belog ini menyebabkan orang ramai dapat menilai, seterusnya membangkitkan keinginan untuk memiliki sambungannya.
tahniah ustat.
saya nantikan novel terbaru~